IPOH – Seorang lelaki maut apabila dilanggar sebuah motosikal dalam satu kemalangan di Jalan Tambun, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang penganggur berusia 48 tahun itu sedang melintas jalan apabila tiba-tiba dilanggar oleh penunggang motosikal yang datang dari arah Ulu Kinta menghala ke Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh Mohd Ali Thamby berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penunggang motosikal itu tiba dan telah ternampak mangsa menyeberang jalan dari arah kanan ke sebelah kiri jalan secara tiba-tiba.

“Oleh kerana jarak terlalu dekat penunggang motosikal berusia 25 tahun itu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang menyebabkan penunggang motosikal itu terbabas dan masuk ke dalam longkang.

“Akibat kemalangan mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal mengalami cedera parah pada bahagian kaki dan tangan dan telah dibawa ke hospital,” kata beliau ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di kepala akibat dilanggar,” kata Mohd Ali.

Beliau berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati lokasi adalah jalan negeri mempunyai dua lorong dan garisan putus-putus pembahagi arah jalan dan cuaca baik.

Motosikal itu mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, pemulas kiri bengkok dan coverset sebelah kiri pecah.

“Siasatan masih dijalankan dan tiada tangkapan dibuat,” tambah Mohd Ali.