SUNGAI BESAR: Seorang pejalan kaki berusia 57 tahun maut selepas dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Jalan Lama Kuala Selangor di sini kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata mangsa Mohamad Azman Abd Wahab, sebelum itu meletakkan kenderaannya di bahu jalan sebelah kiri sebelum melintas jalan.

“Siasatan awal mendapati mangsa ingin menuju ke kedai makan yang terletak di kanan jalan apabila dirempuh MPV jenis Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 64 tahun dari arah Jalan Sungai Burung menghala ke Jalan Sungai Besar, yang tidak sempat mengelak mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Nor Azmi berkata, ketika kejadian, laluan berkenaan dalam keadaan gelap dan mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia jam 12 tengah malam tadi.

Kata Nor Azmi, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 – berita harian