KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki maut selepas dirempuh kereta ketika melintas di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Taman Canggih, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 9 pagi itu, Sunungkakal Madilong, 59, beralamat di Puri Warisan, Inanam, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak beberapa meter.

Difahamkan, nahas kejadian berlaku ketika kereta PROTON Saga dipandu seorang wanita berusia 22 tahun memandu dari arah Bundusan menuju ke Telipok.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan menyebabkan kereta terbabit yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak dan membrek lalu terlanggar mangsa.

Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu kereta tidak cedera.

Mayat mangsa kemudian dibawa Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk bedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kemalangan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian