IPOH: Seramai 1,549 orang berjaya mendapat pekerjaan melalui Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) setakat Januari sehingga Mac tahun 2017.

Isu pengangguran dalam kalangan belia di negeri ini telah pun ditangani dengan sewajarnya menerusi PEKA yang melaksanakan 15 karnival kerjaya di seluruh Perak.

Perkara itu diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya selain menjelaskan 53 peratus daripada jumlah itu adalah golongan lelaki manakala 47 peratus pula perempuan.

“Selain karnival kerjaya, kita juga melaksanakan 104 program lain seperti SkuadRonda JobsPerak, On-Site Interview Program (OSIP), Daily Interview Program (DIP) serta Program Eksplorasi Aliran Kerjaya (PEAK),” katanya semasa ucapan penggulungan Sidang DUN pada Isnin.

Sementara itu, berkaitan isu pelajar yang keciciran dalam pelajaran dan ingin bekerja, Shahrul menjelaskan kerajaan melalui PEKA telah membantu pelajar untuk mengenalpasti pilihan kerjaya bersesuaian.

“Program siri jelajah ke sekolah iaitu PEKA di enam buah sekolah telah banyak membantu pelajar yang keciciran dalam pengajian dengan menasihati pelajar melalui kursus yang sesuai untuk memastikan pilihan kerjaya dapat dicapai,” ujarnya.