BAGAN DATUK: Peluang pekerjaan yang disediakan oleh Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) tidak hanya tertakluk kepada kaum Melayu sahaja tetapi untuk semua kaum.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, statistik menunjukkan berlaku ketidakseimbangan jumlah kaum yang berdaftar untuk mendapatkan pekerjaan dengan pusat tersebut.

“Saya harap kaum lain pun turut sama mendapatkan peluang pekerjaan melalui PeKA, ini kerana pembahagian kaum yang berdaftar tidak begitu seimbang.

“Majoritinya terdiri dari kaum Melayu dan penyertaan kaum lain seperti Cina, India dan lain-lain, sangat kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian di program #FitPerak serta Karnival Pendidikan Tinggi dan Kerjaya @ Bagan Datuk di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dr Zambry menjelaskan bahawa menerusi pendekatan yang dijalankan itu, berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan anak muda yang memerlukan.

“Dalam tempoh lima tahun bermula 2011 hingga 2016, PeKA telah mencatatkan sebanyak 61,045 pencari kerja berdaftar.

“Daripada jumlah itu, 40,681 orang sudah mendapat peluang pekerjaan dan 3,184 orang berjaya mendapat peluang pendidikan kemahiran,” ujar beliau.

Dr Zambry berkata, program Permukiman yang berlangsung di setiap daerah bukan hanya setakat turun padang semata-mata, bahkan ia turut memberi ruang untuk anak muda mencari peluang pekerjaan.