IPOH: Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) akan menggunakan pelbagai platform untuk terus membantu belia di negeri ini, khususnya mereka yang sedang mencari pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi berkata, selain menyediakan pelbagai perkhidmatan di pejabat PEKA di Terminal Amanjaya, pihaknya turut turun padang untuk memberi perkhidmatan kepada pencari kerja di negeri ini.

68b115e4-d4f2-484f-8ff6-7890374cb5b3Menurut beliau, antara platform yang digunakan sebelum ini ialah penganjuran Karnival Pendidikan & Kerjaya, program di sekolah serta institusi pengajian tinggi dan Permukiman Menteri Besar di daerah-daerah.

“Terbaru, kita turut mengambil bahagian di dalam program Negaraku@Komuniti di padang SMK Dato’ Abdul Rahmah Yaakub untuk memberi peluang belia di daerah Perak Tengah mendaftar,” katanya kepada Suara Perak di sini hari ini.

fd098fd8-376d-44f3-ab28-ca944277560e

Pada program itu, Ameron turut menerima cenderahati penyertaan daripada Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.

Ameron memberitahu, sepanjang dua hari program tersebut, kira-kira 2,000 belia di sekitar daerah Perak Tengah telah membuat pendaftaran pekerjaan di gerai pameran PEKA yang dikendalikan enam petugas.

“Petugas kami sentiasa bersiap siaga untuk memberi khidmat setiap masa, termasuk ketika cuti hujung minggu, demi untuk memberi khidmat kepada belia-belia di negeri ini,” ujarnya.

Beliau menambah, hujung bulan ini, seperti program Permukiman Menteri Besar sebelum ini, PEKA akan turut mengambil bahagian di dalam Permukiman Menteri Besar di Manjung yang dijadualkan 24 – 28 Oktober ini.

“Kita akan menggunakan apa sahaja platform yang sesuai untuk membantu belia kita, termasuk memberi panduan kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM dan STPM tidak lama lagi,” katanya.