IPOH – Kerajaan negeri mendedahkan sejak Januari hingga Mac tahun ini dari 4,677 orang pemohon pekerjaan yang berdaftar dengan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) hanya 73 orang sahaja yang berjaya mendapat penempatan pekerjaan melalui agensi tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Dan Sukan YB Howard Lee Chuan How berkata angka tersebut diperolehi setelah PEKA mengemaskini pangkalan data penempatan pekerjaan baru-baru ini.

“Setelah pengemaskinian data susulan ini dibuat, didapati daripada 4,677 pemohon pekerjaan, hanya 73 org sahaja yang sebenarnya mendapat pekerjaan melalui PEKA.

“Ini bermakna secara purata utk tahun 2018, hanya 1.6 peratus pencri kerja yang mendapat peluang kerja melalui PEKA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu) di Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Negeri ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

YB Howard Lee berkata daripada jumlah tersebut, 3,474 masih tidak memperoleh pekerjaan manakala 1,330 telah bekerja tetapi bukan menerusi saluran yang disediakan oleh PEKA.

“Saya juga telah menjalankan sampling secara rawak dengan menghubungi 30 orang untuk mendapatkan maklumbalas dan terkejut hanya tiga orang sahaja yang berjaya manakala 27 lagi kandas,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan angka kejayaan penempatan sebanyak 63,186 yang direkodkan melalui laporan rasmi bagi tempoh Mac 2011 sehingga Mac 2018 daripada 69,985 sebagai mengelirukan dan menimbulkan keraguan kerana tiada sebarang kontrak atau surat tawaran kerja yang diterima oleh PEKA daripada calon yang berjaya mendapat pekerjaan melalui program karnival kerjaya yang dijalankan sepanjang PEKA beroperasi.