IPOH – Menyedari kepentingan kerjaya dan pendidikan dalam kalangan belia di negeri ini, Pusat Kerjaya Amanjaya bersama JobsMalaysia Negeri Perak dan pengurusan UTC Perak telah menganjurkan karnival kerjaya sempena Job Fair @ UTC 4.0 pada Sabtu lalu.
Pada kali ini, sebanyak 30 syarikat dan 5 institusi latihan daripada agensi swasta mengambil bahagian dengan menawarkan 1,645 kekosongan jawatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA), Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi berkata bilangan pemohon pekerjaan yang menghadiri karnival tersebut ialah seramai 2,273 melebihi sasaran iaitu 2,000 orang.
“Peluang kerja yg ditawarkan hampir 2,000 jadi ini adalah bukti kerajaan negeri membawa lebih banyak peluang kpd anak2 Perak. Ini juga bermakna kerjasama PEKA dengan JobsMalaysia utk memberikan lebih banyak peluang pekerjaan samada di dalam mahupun di luar negeri sudah tercapai.
b3c81ebf-8bf0-4015-b084-08caaf55b66f
“Antara syarikat swasta yang menyerti karnival pada kali ini bukan hanya terdiri dari sekitar Ipoh dan Perak, malahan beberapa syarikat dari Selangor dan Kedah supaya dapat meningkatkan kualiti pekerjaan yang ditawarkan,” ujar beliau ketika ditemui di sidang media selepas perasmian program Karnival Pekerjaan Sempena Job Fair @ Urban Transformation Centre (UTC) 4.0 di UTC Perak.
Karnival tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Perak Datuk Aznel Ibrahim.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perak Ahmad Khusairi Lope Abdul Rahman.
Ameron berkata, PEKA berharap agar majikan boleh meningkatkan tawaran gaji supaya ia boleh menjadi tarikan kepada rakyat Perak yang bekerja di luar negeri kembali berkhidmat di sini untuk sama-sama meningkatkan peluang membangunkan lagi ekonomi negeri.
Selain peluang untuk menghadiri temuduga secara terus dengan para majikan, pelbagai pengisian tambahan turut disediakan termasuk sesi klinik kerjaya, latihan kemahiran, sesi nasihat pemburuhan dn program keusahawanan.
Antara syarikat yang berpengkalan di luar Perak yang menyertai karnival kerjaya Job Fair @ UTC 4.0 ialah Biocon Sdn Bhd, CRRC Rolling Stock Centre (M) Sdn Bhd, Malayan Flour Mills Sdn Bhd dan Top GloveSdn Bhd. Manakala Unisem Tech Sdn Bhd, Outward Bound Trust of Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Sunway Lost World Water Park Sdn Bhd dan 21 Grilled pula antara yang menawarkan peluang pekerjaan di dalam negeri.
Semasa perasmian, Aznel telah menyampaikan surat lantikan kepada sembilan orang pemohon pekerjaan yang berjaya mendapat pekerjaan.
Salah seorang penerima, Nur Athirah Mohamad Shawari pelajar dari bidang jahitan bersyukur cubaan pertamanya membuahkan hasil apabila berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai tukang jahit di FM Universal.
Beliau berterima kasih di atas peluang tersebut dan berazam untuk memaksimakan kebolehan serta mengutip pengalaman yang berharga .
Daripada 1,645 jawatan yang ditawarkan, 656 adalah untuk siswazah manakala 989 untuk bukan siswazah.
Sejumlah 1,310 pencari kerja adalah lepasan siswazah daripada jumlah 2,273 orang yang hadir dan seramai 172 berjaya mendapat penempatan pekerjaan.