SUNGAI SIPUT – Demi memberi peluang kepada belia luar bandar untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) dengan kerjasama Kemas Sungai Siput telah menganjurkan Karnival Kerjaya KEMAS4U pada 8 April lalu bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Mini Stadium Felda Lasah, Sungai Siput (U).

Program ini menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan di peringkat akar umbi, peningkatan keupayaan modal insan, pengukuhan ekonomi dan penambahbaikan sistem penyampaian.

Ketua Pegawai Eksekutif PEKA, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi berkata PEKA masih membawa program Rural Accelerated Industry Skill for Employment (RAISE) di lokasi ini bertepatan dengan fokus program tersebut untuk belia dan anak tempatan yang berada di luar bandar.

RAISE yang bertujuan untuk membantu belia dan beliawanis negeri Perak yang menganggur dan tidak mempunyai peluang dan kelayakan akademik yang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan dalam agenda mentransformasi belia luar bandar.

Menurut beliau, bagi pemohon pekerjan yang memiliki kelayakan dari segi sijil juga mengambil kesempatan untuk mengisi borang, mendaftar dan menghadiri temuduga dengan syarikat yang mengambil bahagian pada hari tersebut.

“Seperti biasa, syarikat yang bersama kami ialah Jabil Circuit Sdn Bhd dari Pulau Pinang, Coway (M) Sdn Bhd, Bijak Gemilang Sdn Bhd dan Etiqa Takaful.

“Untuk program RAISE kerjasama dengan institut kemahiran pula dari Mont Royale College, Perak Human Capital Development Centre, Perak Entrepreneur Skills Development Centre dan Kolej Teknologi Midas. Kolej Komuniti Sungai Siput dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut mengambil bahagian,” ujar beliau.

Khairil Anwar Khazali, Pengurus Pemasaran dan Hal Ehwal Pelajar dari Kolej Teknologi Midas berkata kolej tersebut menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia melalui RAISE.

“Sambutan yang diterima daripada belia sangat menggalakkan dan kami berjaya mendapat ramai peserta dari PEKA untuk program RAISE.

“Untuk RAISE kami menawarkan kursus kulinari dan pastri dan telah menghantar seramai 27 orang peserta ke Kula Lumpur untuk bekerja di restoran sepert Secret Recipe dan Paparich,” kata Khairil Anwar.

S. Veeraselvi, pegawai pengambilan dari Jabil Circuit Sdn Bhd berkata PEKA membantu mereka mengambil operator pengeluaran dari kawasan luar bandar terutamanya dari golongan Orang Asli.

Beliau berkata Jabil Circuit cuba memfokuskan untuk kawasan luar bandar agar dapat menarik minat dan memberi peluang kepada mereka.

“Berdasarkan pengalaman saya, belia Orang Asli adalah komited dan rajin terutamanya mereka yang bekerja sebagai operator pengeluaran,” beliau menambah.

Bagi pencari kerja, Nur Syuhada Abd Nasir, graduan akaun dari Universiti Utara Malaysia, beliau berpendapat program PEKA ini membantu beliau sebagai rakyat negeri Perak untuk mendapatkan peluang pekerjaan .

“Saya pernah menghantar sendiri resume ke banyak syarikat sebelum ini untuk memohon kerja namun ia agak renyah.

“Tetapi dengan PEKA, ia memudahkan saya dengan membawa syarikat berkumpul di satu tempat dan saya boleh terus ditemuduga,” ujar staf kontrak di kilang Hume Cement Gopeng ini.

Bagi Mohd Syukri Sabri, beliau berminat untuk menyertai program RAISE namun faktor umur menjadi penghalang.

“Saya sudah berusia 28 tahun jadi peluang untuk menyertai RAISE sudah terlepas.

“Jadi hari ini saya cuba untuk memohon pekerjaan di beberapa syarikat yang ada di sini untuk mengubah nasib saya,” kata beliau.

Mohd Syukri berpendapat program anjuran PEKA sangat membantu penganggur untuk mencari kerja di dalam negeri Perak.

Beliau juga mula mengikuti Facebook PEKA untuk memastikan beliau sentiasa mengikuti peluang pekerjaan dan juga program-program anjuran PEKA yang boleh dimanfaatkan.

Selain itu, pelbagai pengisian dan aktiviti dilaksanakan dalam karnival kali ini seperti temuduga terbuka, taklimat motivasi kerjaya, sukan rakyat, pameran agensi kerajaan, jualan usahawan desa dan pameran kerjaya. Pelaksanaan karnival ini bertujuan mempromosi program dan aktiviti Kemas serta meningkatkan kerjasama strategik agensi dan jabatan kerajaan.