BAGAN SERAI – Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) berjaya mengenalpasti 37,000 kekosongan pekerjaan di negeri Perak sejak ia ditubuhkan tahun 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, daripada jumlah itu, hanya 29,000 sahaja kekosongan yang telah diisi.

Menurut beliau, bakinya tidak dapat diisi, khususnya di dalam sektor swasta kerana pencari kerja tidak dapat memenuhi kehendak industry.

“Sehubungan itu, PeKA membuat road show ke daerah-daerah dan mukim untuk mencari pekerja bagi memenuhi kekosongan itu,” katanya ketika berucap melancarkan Pusat Sumber Setempat dan Peti Surat Amanjaya di Kompleks Mini Stadium Bagan Serai dekat sini pada Jumaat.

Hadir sama ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, Ketua Pegawai Eksekutif PeKA, Ameron Zulqarnain Yeop Rashidi dan Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Nazaruddin Mohd Yusoff.

Menurut Samsudin, kerajaan negeri melalui PeKA mensasarkan untuk mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2018.

“Kita ada dua tahun lagi untuk mencapai sasaran itu dan saya percaya kita mampu mencapainya,” ujar beliau.

Beliau memberitahu, antara usaha yang dilakukan oleh PeKA untuk melibatkan lebih ramai rakyat di dalam program yang dilakukan, ialah membuka Pusat Sumber Setempat dan Peti Surat Amanjaya.

Beliau menjelaskan, Pusat Sumber Setempat akan ditempatkan di pejabat penghulu dan sebagai permulaan 14 buah pejabat penghulu, termasuk di Bagan Serai telah dipilih sebagai projek perintis.

Di samping itu, katanya, Peti Surat Amanjaya juga akan diletakkan di pejabat-pejabat penghulu di samping di beberapa jabatan dan agensi kerajaan bagi memaklumkan mengenai program PeKA.

Beliau yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Perak turut meminta penghulu dan ketua kampung supaya memainkan peranan lebih aktif dalam usaha membenteras penagihan najis dadah yang semakin membimbangkan, khususnya di kalangan remaja berumur antara 15 dan 19 tahun.