BAGAN DATUK – Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) dan JobsMalaysia menawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada anak muda di Bagan Datuk melalui penganjuran Jom Belia Negaraku BN Youth Fair 2018 bersama Pemuda Barisan Nasional (BN).

Bertempat di Padang SMK Seri Muara, Bagan Datuk, seramai 10,000 orang pengunjung dari kawasan sekitar mengambil peluang untuk hadir dan memeriahkan lagi karnival tersebut pada 22 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PEKA, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi berkata, program tersebut telah diadakan untuk membantu masyarakat untuk memperolehi ilmu pengetahuan yang sesuai seperti peluang skim, program dan insentif yang telah ditawarkan.

“Program kali ini telah mendapat penyertaan lebih daripada 13 agensi dengan sambutan menggalakkan dari usahawan, ketua perniagaan, pelabur serta agensi kerajaan dan syarikat korporat yang memberi kerjasama dalam menjayakan program tersebut.

“Ianya penting kepada para belia yang ingin mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka dan ini salah satu medium terbaik untuk mereka mencari pekerjaan,” ujar beliau ketika ditemui Suara Perak.

Jom Belia Negaraku ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, sebanyak 10,000 peluang pekerjaan termasuk dalam industri penangkapan ikan tuna serta kilang pemasangan kenderaan dan enjin elektrik akan diwujudkan di Bagan Datuk dalam tempoh lima tahun selepas PRU-14, dengan keutamaan diberikan kepada penduduk Parlimen itu.

“Sebelum karnival ini diadakan pun kita dah tawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada anak Bagan Datuk,” katanya semasa ucapan perasmian tersebut.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Senator Khairul Azwan Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin.

Terdahulu, Khairul Azwan berkata, karnival kerjaya iaitu Ekspo Pemuda BN yang turut diadakan menawarkan hampir 1,000 peluang pekerjaan khusus kepada anak muda di Bagan Datuk.

Beliau berkata, karnival kerjaya kali ini adalah yang ke-39 sejak empat tahun lalu dan komitmen itu bukan bermusim atau kerana pilihan raya tetapi kerana sedar keperluan peluang kerjaya diperlukan golongan muda.

Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd, Safeguard G4S Sdn Bhd, GC Kapar Sdn Bhd, Charisma Strategy Sdn Bhd, Chulia Facilities Management Sdn Bhd, A-Asign Corporations Sdn Bhd, Imperia Asia Resources dan Coway (M) Sdn Bhd.

Menurut wakil dari Kulim Advanced Technology Sdn Bhd, Romzi Hassan Husin program ini memberi peluang kepada anak bangsa yang tercicir untuk terus berkembang dengan menghadiri kursus bersama syarikat itu dan ditempatkan di industri selepas tiga bulan.

“Pada hari ini saya melihat satu sambutan yang cukup hebat daripada masyarakat Bagan Datuk di mana anak-anak muda kita yang hadir pada hari ini nampaknya betul-betul berminat untuk menceburi bidang ini dan kita cuba untuk membantu mereka iaitu di bidang CNC, QAQC qualifications dan industrial automation serta program-program baru yang kita adakan.

“Alhamdulillah dengan impak yang dibawa oleh JobsMalaysia dan PEKA Negeri Perak telah memberi maklumbalas yang cukup baik dan saya berharap selepas ini Kulim Advanced Technology merupakan satu syarikat yang terus diberi peluang ,oleh JobsMalaysia dan juga PEKA bagi kita sama-sama melaksanakan misi yang telah dianjurkan oleh kerajaan kita,” ujar jurutera di syarikat tersebut.

Beliau juga berharap agar program seperti ini terus diadakan dan membawa kemajuan yang baik khususnya kepada anak-anak muda di negeri ini.

Sementara itu, Izyan Azirah Mohmad Azaman Pembantu Sumber Manusia dan Pentadbiran dari Imperia Asia Resources pula memaklumkan terdpat pelbagai jawatan yang ditawarkan oleh syarikat itu, antaranya kerani, kerani akaun dan pegawai jualan.

“Kita tak tahu rezeki kita ada di mana, jadi tak salah untuk mencuba memohon pekerjaan dengan syarikat kami,” ujar beliau yang mengakui menerima permohonan yang menggalakkan dari para pemohon pekerjaan.

Pencari pekerjaan, Nurul Nazia Md Son menyifatkan penganjuran karnival ini amat bermakna kepada belia di Bagan Datuk khususnya.

“Saya ingin menjadi antara tenaga muda yang sama-sama memajukan ekonomi di Bagan Datuk ini.

“Jadi peluang menghadiri karnival ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh saya untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan saya,” tambah beliau.