GERIK –  Lebih 600 peserta mengambil peluang menghadiri Karnival Gempak Peluang Kerjaya dan Pendidikan Kerjaya Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Setaraf kali Ke-7 untuk Parlimen Gerik, .
Peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 5 dari 13 buah sekolah di sekitar daerah Hulu Perak, dua buah Maktab Rendah Sains MARA dan Kolej Vokasional Gerik dan bekas pelajar yang mempunyai sekurang-kurangnya Ujian Penilaian Sekolah Rendah melawat 22 booth pempamer yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat yang menjalankan temuduga kepada pemohon pekerjaan yang hadir di Kolej Vokasional Gerik bermula jam 8 pagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi berkata pada kali ini, PEKA memfokuskan kepada program Rural Accelerated Industry Skill for Employment (RAISE) yang bertujuan membantu belia dan beliawanis negeri Perak yang menganggur yang tidak mempunyai peluang serta kelayakan akademik yang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan dalam agenda mentransformasi belia luar bandar.
“Syarat-syarat peserta untuk program RAISE ini ialah mereka mempunyai kelulusan akademik serendah Ujian Penilaian Sekolah Rendah, berumur di antara 16 tahun hingga 25 tahun, warganegara Malaysia, boleh membaca, menulis dan mengira serta memiliki keinginan untuk bekerja dan mengubah masa depan.
“Sektor pekerjaan yang ditawarkan ialah sektor perindustrian elektronik, perhotelan, kulinari dan pastri berlokasi di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Lembah Klang,” ujar Ameron.
Program RAISE ini merupakan program yang ditaja oleh Pembiayaan Pembangunan Sumber Manusia dengan kerjasama institusi kemahiran terpilih di mana tempoh latihan akan berlangsung selama dua minggu di bawah Latihan Intensif Pra Persiapan Pekerjaan dan para peserta dijamin memperoleh pekerjaan selepas tmat latihan.
Para pelajar dari sekolah-sekolah dan Maktab Rendah Sains MARA dijemput untuk menghadiri karnival itu supaya mendapat pendedahan awal mengenai peluang pekerjaan yang ada dan sepadan dengan minat mereka.
Mereka turut mendengar ceramah dari wakil PEKA yang berkongsi pengalaman serta fungsi PEKA kepada rakyat Perak secara umumnya.
Selain daripada temuduga terbuka dan pameran daripada IPT, karnival tersebut turut menawarkan penyertaan dan khidmat nasihat daripada institut latihan kemahiran awam, Majlis Amanah Rakyat serta maklumat mengenai prosedur kemasukan ke IPTA.
Pengunjung, Nurliyana Athirah Fakharulrazi seorang graduan Universiti Teknologi Mara Puncak Alam bersetuju dengan kehadiran dan penganjuran karnival tersebut oleh PEKA di Parlimen Gerik lantaran belia-belia di kawasan tersebut menghadapi kekangan untuk keluar ke Ipoh.
“Ia memudahkan lagi pelajar-pelajar bekas SPM lepasan STPM dan setaraf untuk mencari kerja dengan bantuan PEKA. Lagipun tawaran pekerjaan di dalam Perak akan memudahkan lagi diorang untuk peluang pekerjaan,” ujar beliau.
Manakala bagi kakitangan syarikat pembinaan di Pulau Pinang Muhammad Sufian Afham Zahid Sapian berkata peluang yang ditawarkan oleh PEKA ini perlu direbut oleh penuntut di luar bandar bagi mengisi peluang pekerjaan yang ada.
Muhammad Sufian Afham berkata beliau memilih untuk menghadiri karnival tersebut mengambil peluang untuk mendaftar dengan PEKA dan mencari peluang kerja dan kembali berbakti di negeri Perak.
Graduan Akademi Binaan Malaysia CIDB Sintok itu menambah, penganjuran ini bagi memudahkan rakyat di kawasan pedalaman untuk mendapatkan kerja sekaligus menjimatkan kos supaya penduduk di pedalaman ini tidak perlu keluar untuk mencari pekerjaan sendiri di luar dari Gerik.