IPOH: Kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan akan mempergiatkan promosi mengenai Pekan Beruas yang sebelum ini kurang ditonjolkan sebagai destinasi utama pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi menjelaskan, pihaknya bersama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) akan mengenalpasti lokasi terbaik bagi peletakkan papan tanda menuju ke Beruas.

Beliau memberitahu, memang terdapat beberapa cadangan yang diperolehi seperti penaiktarafan papan tanda bagi melonjakkan Pekan Beruas dan MPM akan mengenalpasti lokasi yang sesuai untuk menempatkannya.
“Kita cuba bangunkan pakej bersama syarikat ejen pelancongan untuk membawa masuk pelancong ke Beruas, sebelum ini belum dapat dilaksanakan kerana lokasinya jauh daripada destinasi utama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Abd Manaf Hashim (BN – Pengkalan Baharu) yang mahu Pekan Beruas diperkenalkan dengan lebih meluas, khususnya dalam sektor pelancongan.

Ia kerana Beruas merupakan salah sebuah tempat yang menyimpan khazanah sejarah lama selain bakal menyambut 100 tahun kewujudannya pada tahun 2018.

“Beberapa tarikan sedia ada sudah dikenalpasti terutama penceritaan sejarah purba iaitu Kerajaan Gangga Negara serta Kerajaan Melayu Beruas dan penceritaan itulah yang menjadi tarikan kepada pelancong dan cendekiawan untuk kajian sejarah,” katanya.

Nolee menambah, antara tempat yang sering menjadi tumpuan ialah Muzium Beruas yang menyimpan artifak sejarah dan menjadi kekuatan kepada aktiviti pelancongan di pekan itu.