GERIK – Hujan lebat luar biasa lebih sepuluh jam menyebabkan sebahagian besar kawasan Pekan Gerik, di sini ditenggelami banjir kilat sejak awal pagi tadi.

Lebih mengejutkan, banjir kilat berkedalaman lebih satu meter itu menyebabkan jalan utama menghubungkan Pekan Gerik ke Kuala Kangsar dan Jeli, Kelantan terpaksa ditutup sementara untuk kegunaan kenderaan ringan.

Ahli Majlis Daerah Gerik, Mohd Fadzil Abdul Aziz berkata, kejadian banjir kilat dipercayai mula berlaku pada jam 6 pagi apabila lebih sepuluh kampung dan taman perumahan dipercayai dinaiki air bah lebih dua meter.

Menurutnya, selain faktor hujan lebat luar biasa, senario limpahan air dari Sungai Hangai dan Ulu Kenderong turut menyumbangkan punca berlakunya banjir kilat luar biasa tersebut.

“Ketika ini, kita mengenal pasti Kampung Sungai Ramasamy, Kampung Ulu Kenderong, Kampung Bukit Merikan, Kompleks Guru Daerah Gerik dan beberapa taman perumahan sekitar kawasan pekan terjejas teruk akibat banjir kilat.

“Setakat ini, belum lagi ada jumlah anggaran tepat mengenai keseluruhan rumah penduduk terjejas akibat banjir kilat, namun saya menjangkakan tidak kurang daripada 100 rumah.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan keadaan akan kembali pulih seperti sediakala pada waktu tengahari nanti,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Fadzil berkata, di sebalik tindakan penutupan sementara jalan utama di Pekan Gerik sepanjang satu kilometer, pihak berkuasa tempatan sudah menyediakan jalan lencongan alternatif kepada pengguna jalan raya luar.

Menurutnya, tindakan membersihkan segera sampah-sarap yang memenuhi sistem perparitan di seluruh pekan Gerik perlu dijalankan bagi mengelakkan banjir kilat berulang.

“Selain itu, saya melihat kepentingan mendalamkan dua sungai utama di Pekan Gerik iaitu Sungai Hangai dan Sungai Ulu Kenderong perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan masalah limpahan air sungai berulang.

“Kejadian banjir kilat hari ini dianggap agak buruk kerana buat pertama kali, sesi persekolahan melibatkan Sekolah Kebangsaan(SK) Mahkota Sari terpaksa dibatalkan hari ini kerana paras air bah agak tinggi,” katanya.

Mohd Fadzil berkata, bagi pihak kerajaan, pihaknya akan membuat persiapan bagi membantu membersihkan mana-mana rumah dan bangunan awam yang terjejas banjir.

“Kita juga akan meneliti semula kesesuaian sistem perparitan di pekan Gerik ketika ini untuk ditambah baik pada masa hadapan, ” katanya – sinar