IPOH : Pekan lama Ipoh (Ipoh Old Town) akan diketengahkan sebagai satu hub seni & budaya, bukan sahaja untuk artis tempatan, malah juga artis antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, bagi tujuan itu, beberapa program telah disusun, lebih-lebih sempena menyambut Tahun Melawat Perak (TMP) 2017.
Beliau memberi contoh program ‘Bongkar Old Town for The Other Festival 2017’ untuk menarik golongan artis ke bandaraya ini.

“Program ini adalah satu inisiatif yang dibuat bersama kumpulan Kakiseni di mana mereka telah adakan satu program iaitu ‘The Other Festival 2015’ bersama-sama kerajaan negeri Perak.

“Daripada penganjuran festival, kita lihat ribuan pelancong datang untuk bersama-sama menerokai program yang telah diatur, khususnya di kawasan pekan lama Ipoh,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan ‘Oodles of Doodles for Ipoh Old Town’ di Sekeping Kong Heng, di sini pada Ahad.

Nolee berharap, penganjuran ‘The Other Festival 2017’ akan meletakkan acara tersebut sebagai acara yang mesti dilawati oleh artis-artis seluruh dunia.

“Tahun lalu, kita mendapat banyak penyertaan daripada artis-artis dan bersempena Tahun Melawat Perak 2017, ianya dapat diadakan dengan lebih besar berbanding tahun 2015,” ujarnya.
Beliau memberitahu, program ‘The Other Festival 2017’ turut dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri sebagai salah satu program utama seni.

Mengulas mengenai program yang dianjurkan itu, beliau berkata, pihak Kakiseni telah mengambil pendekatan baru melalui ‘doodle’ yang menjadi pameran utama melalui ‘Bongkar Old Town’.

Program yang berlangsung dari 13 November dan berakhir hari ini telah memberi ruang kepada artis-artis ‘doodle’ untuk ke lokasi menarik di pekan lama Ipoh dan dipamerkan.

 

pekan-ipoh-hub-budaya-2

Sementara itu, Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen berkata, program ‘The Other Festival 2017’, alan melibatkan lebih ramai artis berbanding tahun lalu.

“Kita juga akan memperbanyakkan penglibatan artis-artis muda di Ipoh bagi festival yang akan dijalankan pada bulan Oktober atau November tahun hadapan,” ujarnya.

Selain itu, kata Yuen, pihaknya juga akan meluaskan kawasan program sehingga sekitar lima kilometer, berbanding hanya dua kilometer tahun lalu.