IPOH: Selepas Kementerian Kesihatan mewartakan tempat-tempat awam seperti hospital, pejabat kerajaan serta kawasan rehat dan rawat (R&R) sebagai zon larangan merokok, kerajaan negeri Perak bercadang untuk mewartakan beberapa kawasan lagi di Ipoh sebagai zon bebas asap rokok.

Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional Dan Sumber Manusia, A. Sivanesan berkata, ia adalah lanjutan daripada satu kajian mengenai perkara itu yang telah dilakukan oleh Jabatan Kesihatan pada 2016.

Menurut beliau, kajian itu mendapati 70 peratus responden bersetuju dengan cadangan untuk mewartakan kawasan larangan merokok di Pekan Lama Ipoh, khasnya di Medan Kidd dan Padang Ipoh.

“Mesyuarat hari ini mencadangkan agar tempat-tempat ini dizonkan sebagai kawasan larangan merokok,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ketua jabatan kesihatan negeri Perak di pejabatnya di sini, hari ini.

Sivanesan berkata, beliau akan membentangkan kertas kerja mengenai cadangan itu kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri secepat mungkin untuk mendapatkan kelulusan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sehingga 18 Ogos lalu, jumlah kumulatif kes denggi di Perak mencatatkan penurunan sebanyak 58.3 peratus, iaitu 1,912 kes berbanding 4,581 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Menurutnya, dalam tempoh yang sama, terdapat lima kematian yang dilaporkan, berbanding lapan kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, di sebalik penurunan keseluruhan kes denggi di Perak, kata beliau, dua daerah mencatatkan peningkatan iaitu Hilir Perak meningkat 161.2 peratus dan Manjung 152.9 peratus.

Mengenai masalah parkir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, beliau berkata, sebanyak RM50 juta diperlukan untuk membina tempat letak kereta dua tingkat yang boleh menampung kira-kira 1,000 kenderaan.

“Kita telah mengenalpasti kawasan yang sesuai di dalam kawasan hospital bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya sambil memberitahu, tahun lalu sahaja, pihak polis mengeluarkan kira-kira 13,000 saman terhadap kenderaan yang parkir di tepi-tepi jalan berhampiran hospital.