Oleh: Nazialita Geynna Maharan

PARIT: Penduduk di sekitar Parit dihadiahkan dengan penambahbaikan pekan mereka yang akan berwajah baharu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mengetengahkan ciri warisan setiap bangunan lama di sekitar Perak.

Pekan yang terletak sekitar 45 kilometer dari Ipoh itu juga mempunyai beberapa bangunan lama dan akan ditambahbaik, khusus bagi memastikan keunikan bersejarahnya dikekalkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerja-kerja penambahbaikan termasuk mengecat semula bangunan warisan dan mengenalpasti infrastruktur yang memerlukan penambahbaikan akan dijalankan dalam tempoh masa terdekat.

Menurut beliau, ianya juga merangkumi usaha mengindahkan kawasan lanskap dan prasarana di sekitar pekan yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada daerah Kuala Kangsar sebelum keluar pada tahun 1979.

“Ia bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk setempat, selain memberi nilai tambah kepada pekan Parit sendiri.

“Bagi saya kawasan ini mempunyai nilai warisan tersendiri dan tentunya tindakan ini akan memberi impak cukup besar, walaupun keluasan pekan ini kecil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Fit Perak@Perak Tengah di Dataran Parit yang turut disertai oleh sekitar 3,000 penduduk setempat pada pagi Sabtu.

Dr Zambry berkata, pelaksanaan itu akan dibantu oleh Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan serta Pegawai Daerah Perak Tengah, Datuk Mad Dan Hasan yang menjadi penyelaras dan pemantau utama perancangan tersebut.

Katanya, kerja-kerja penambahbaikan adalah untuk memberi imej baharu, tanpa mengganggu dan merobohkan bangunan warisan sedia ada di sekitar pekan.