Oleh: Mohd. Syafiq Noordin

TAIPING: Angkara cemburu dipercayai menjadi punca seorang pekebun dibunuh dengan kejam di Pengkalan Sungai Kerang, Padang Gajah di sini pada malam Sabtu.

Ekoran kejadian tragis itu yang menimpa Wong Chee Kheong, 43, pihak polis kini memburu seorang lelaki berusia 34 yang dipercayai telah menghilangkan diri bersama isterinya, seorang wanita warga Thailand.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, Chee Kheong dijumpai maut dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam pada jam 9.35 malam.

Katanya, mayat mangsa ditemui dengan kesan kecederaan di bahagian kepala, pipi dan lengan yang dipercayai disebabkan oleh serangan dengan senjata tajam.

“Serangan terhadap mangsa yang menyebabkan kematiannya dipercayai berpunca daripada rasa cemburu terhadap mangsa yang dikatakan mempunyai hubungan intim dengan isteri suspek.

“Mayat mangsa ditemui lebih kurang 30 meter dari rumah suspek yang terletak di kampung yang sama. Serangan disyaki bermula di belakang rumah suspek,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Menurut beliau, usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek yang telah menghilangkan diri bersama isterinya selepas kejadian itu.