SHAH ALAM – Punca mengapa masih ada 50 peratus rakyat Malaysia yang bergaji di bawah RM1,703 adalah kerana pengaruh pekerja asing.

Perkara itu dimaklumkan Penganalisis Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari.

Menurutnya, apa yang dilihat hari ini, negara tiada dasar yang jelas seperti negara lain di mana kemasukan pekerja asing akan mempengaruhi gaji rakyat dalam negara.

“Kita ambil contoh seperti Singapura, jika hendak ambil pekerja luar, syarikat perlu memastikan tiada rakyatnya yang hendak bekerja barulah ambil pekerja luar.

“Hendak ambil orang luar, syaratnya juga adalah pembayaran gaji adalah sama. Di Malaysia tiada, misalnya, pekerja tempatan dibayar RM2,000, tetapi pekerja asing RM700. Di sini dilihat berapa ramai orang kita digantikan dengan orang luar,” katanya ketika Live Facebook bersama Sinar Harian.

Berhubung pemantauan terhadap isu pekerja asing ini, beliau tidak pasti sejauh mana perkara itu dilihat oleh pihak berwajib.

Yusof bagaimanapun mengakui tahap ekonomi yang masih rendah adalah kesan daripada dasar terdahulu.

“Ini kerana dalam ekonomi, dasar hari ini akan memberi kesan pada negara lima tahun akan datang,” katanya.

Jelasnya, apa yang dilihat hari ini, ekonomi negara dilihat sihat daripada luarannya, tapi dalamannya agak parah.

“Antara beberapa yang pengaruhinya iaitu isu agihan pendapatan, isu pekerjaan dan gaji..yang mana kalau dibiarkan akan menjadi parah,” katanya.

-SinarHarian