Cameron Highlands: Seorang pekerja kebun bunga warga Bangladesh ditemui mati tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dipercayai akibat hujan lebat di Batu 49, Kuala Terla, di sini pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Hasadid A. Hamid berkata, mangsa yang dikenali sebagai Md Belel Miidha, 28 tahun dipercayai maut di bawah timbunan tanah dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu.

Katanya, semasa kejadian mangsa dipercayai sedang tidur dalam sebuah bangsal atau pondok yang didirikan di lereng bukit kebun bunga berkenaan.

“Menurut keterangan saksi iaitu salah seorang pekerja kebun bunga itu, mangsa datang untuk bertemu dengan saudaranya dan tidur di dalam pondok berkenaan.

“Sekitar jam 3 pagi, hujan lebat berterusan telah menyebabkan kejadian tanah runtuh dan mangsa dipercayai tidak sempat melarikan diri lalu tertimbus di dalam runtuhan lumpur itu,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Rabu.

Menurut Hasadid, pemilik berkenaan telah dihubungi untuk ke lokasi kejadian dan mendapati dua orang pekerjanya sedang mengeluarkan mayat mangsa.

Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital bagi tujuan bedah siasat.

Sementara itu, Hasadid berkata, laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak polis, mendapati terdapat insiden tanah runtuh di beberapa lokasi lain sekitar Brinchang dan Ringlet sejak tengah malam Rabu.

“Pihak polis telah menerima maklumat dan setelah pemantauan dilaksanakan, kami mendapati tanah runtuh di Brinchang tidak melibatkan laluan kenderaan utama dan kami telah memasang tali penghalang serta papan tanda amaran JKR.

“Selain itu, satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku di jalan masuk Kebuh Teh Boh, Habu, Ringlet di mana orang ramai memaklumkan jalan tidak boleh dilalui,” ujarnya.

Beliau menambah, pihak JKR telah dihubungi bagi tujuan pembersihan yang tamat sepenuhnya kira-kira jam 9.35 pagi.

 

IMG-20170125-WA0006