BAYAN LEPAS: Seorang pekerja binaan warga Myanmar maut selepas kepalanya terputus akibat terbelit pada kabel kren dalam kejadian di tapak pembinaan Indah Water di Bayan Baru, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A Anbalagan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Sanaulla Ashozama, 26 tahun, dikatakan cuba membantu pengendali kren memasang kabel kren tersebut sebelum secara tiba-tiba kabel itu terbelit pada bahagian lehernya. Mangsa tidak sempat menanggalkan belitan kabel dilehernya mengakibatkan kepalanya terputus apabila kren tersebut bergerak secara tiba-tiba.

Siasatan awal polis mendapati mangsa yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dikatakan baru tiga bulan bekerja di tapak binaan itu.

Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada unsur-unsur jenayah dalam kematian mangsa.

Mayat dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.