TAPAH: Seorang pekerja hotel didenda RM15,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas satu pertuduhan memalsukan dokumen Bomba pada Oktober tahun lepas.

Tertuduh, Aliff Al-Hafiz Ahmad, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Tertuduh didakwa dengan secara tipu menggunakan resit rasmi kerajaan dan pelekat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang ditampal di dua alat pemadam api milik Chai Jye Niang, 41, yang diketahuinya sebagai satu dokumen palsu.

Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh di No 12 Jalan Besar Chenderiang, di sini pada 4 petang, 16 Okt tahun lepas.

Pendakwaan bagi pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Hennie Soraya Hanafi memohon mahkamah memberikan denda yang rendah kerana tertuduh hanya bekerja di hotel, menyara ibu bapa dan tiada rekod lampau.

Walaubagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Fatin Farahiyah Nadzri memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal seiring dengan kesalahan demi untuk kepentingan awam.

Mohd Harith kemudiannya menjatuhkan hukuman denda tersebut dan memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.