BATU PAHAT: Polis sedang memburu empat suspek kes samun sebuah hotel di Ayer Hitam, dekat sini, yang turut mencabul seorang pekerja wanita hotel berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Razali Mohd Tahir, berkata pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat serta mengesan semua empat suspek berkenaan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi Rabu itu, mangsa sedang bertugas menjaga kaunter hotel berkenaan sebelum pintu loceng hotel dibunyikan seorang daripada suspek.

“Beranggapan suspek mahu menginap di hotel itu, mangsa membuka pintu utama hotel yang dikunci secara automatik bermula tengah malam hingga pagi itu sebelum seorang lelaki masuk dan meluru ke arahnya.

“Lelaki berkenaan kemudian mengacukan parang ke arah mangsa sebelum merentap rantai leher dan gelang emas milik mangsa.

“Ketika kekalutan itu, dua lagi suspek masuk ke dalam premis hotel untuk bersama menyamun mangsa, manakala seorang lagi suspek menunggu di luar hotel.

“Barang yang dilarikan empat suspek berkenaan termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z biru, sebuah televisyen LCD 32 inci jenama Sharp serta wang tunai RM350, malah seorang daripada suspek turut mencabul mangsa wanita berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dua rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan yang masing-masing berdurasi satu minit 34 saat tular sejak semalam antara lain memaparkam dengan jelas bagaimana suspek berkenaan memasuki premis hotel, mengacukan parang, menyerang serta menyamun mangsa sebelum beberapa suspek lain menyelongkar kaunter dan melarikan barangan termasuk televisyen milik hotel itu.

Razali berkata, ketika kejadian seorang lagi kakitangan hotel iaitu seorang lelaki berada di belakang, namun tidak dapat berbuat apa-apa akibat diugut suspek.

“Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan, selain percaya keempat-empat suspek masih berada di daerah ini, ” katanya – berita harian