TAIPING – Seorang bapa muda dihadapkan ke Mahkamah Sesysen di sini, hari ini atas pertuduhan mendera anak kandungnya sendiri berusia enam bulan, 2 Februari lalu.

Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 21 didakwa telah melakukan perbuatan mendera anak perempuannya, Nur Khayra Mohamad Amirul Asnil, sehingga mengalami kecederaan pendarahan dalam otak.

Tertuduh yang merupakan pekerja kantin kilang itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Kampung Paya Baru, Kamunting di sini kira-kira jam 3 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bapak kepada dua orang anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd Razak.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 21 Mac depan.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 6 Februari lalu, Suara Perak melaporkan seorang bayi perempuan berusia enam bulan yang dimasukkan ke Hospital Taiping telah meninggal dunia akibat didera di Kampung Tekah, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Taib berkata, mangsa, Nur Khayra dihantar ke hospital itu kira-kira pukul 6.30 petang tiga hari sebelum itu oleh ibu bapanya selepas dia didakwa tidak sedarkan diri dipercayai akibat terjatuh dari buaian.

Pemeriksaan rapi oleh pihak hospital menunjukkan bayi tersebut mengalami pendarahan di bahagian otak serta dalam mata.