IPOH: Seorang pekerja kedai telefon mendakwa menerima 15 keping wang RM100 palsu dalam urusan jual beli dua telefon terpakai.

Foon Choon Fai, 23, berkata, pada 6 November lalu, dia menerima pesanan melalui aplikasi WeChat daripada seorang lelaki yang mahu membeli dua set telefon terpakai berharga RM1,600.

Selepas persetujuan dicapai, lelaki berkenaan memintanya datang ke Taman Soon Choon di sebelah malamnya, untuk bertemu seorang wanita, yang didakwa kekasih lelaki yang membuat pesanan.

Mereka bertemu di sebuah kedai yang agak gelap kerana ia telah ditutup dan kedudukannya di hujung deretan kedai.

“Dia kata nak cepat, dia serah wang dan ambil telefon, lalu beredar.

“Bila saya kira duit RM100 ada 15 keping, saya telefonnya semula beritahu kurang RM100, dan dia berjanji akan bayar kemudian,” dakwanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Aduan BN Perak di sini, hari ini.

Choon Fai mendakwa, dia menyerahkan wang itu kepada majikannya yang kemudiannya cuba memasukkannya ke dalam akaun melalui mesin deposit tunai.

“Apabila tidak boleh, dia bertanya pihak bank yang memberitahunya bahawa itu wang palsu,” dakwanya.

Menurut Choon Fai, sejak dibuka sebulan lalu, kedai telefon tempatnya bekerja turut membuat urusan jual beli melalui media sosial lain.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, pihaknya akan membuat laporan polis hari ini.

Beliau yakin penipuan itu menggunakan taktik yang sama seperti kes wang palsu tahun lalu.

“Mereka akan pergi ke mesin ATM terlebih dahulu dan keluarkan wang dan menyimpan resit pengeluaran.

“Mereka tidak mengaku menggunakan wang palsu dan mendakwa ia baru dikeluarkan dari mesin ATM,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga kecil supaya lebih berhati-hati apabila berurusan dengan wang tunai.