KUALA KANGSAR: Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini (Isnin) melepas dan membebaskan seorang pekerja kilang dari tuduhan merogol gadis bawah umur.

Hakim, Niran Tan Kram memutuskan Muhammad Azwan Abd Rahim, 22, tidak bersalah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Tertuduh yang berada di kandang saksi kelihatan lega selepas hakim memutuskan untuk membebaskannya dari tuduhan itu.

Mengikut fakta kes, Muhammad Azwan dituduh merogol seorang gadis berusia 16 tahun pada 2 September 2015 kira-kira jam 3.00 petang.

Kejadian tersebut berlaku dalam sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di kawasan berhampiran sebuah sekolah di Sungai Siput.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan bersalah boleh dihukum penjara selama tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Peguambela, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid berkata, mahkamah tidak menyatakan sebab khusus kepada pembebasan Muhammad Azwan.
Katanya,mahkamah tidak menyatakan sebab khusus namun memaklumkan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazratul Natrah Mohd Yusof.