IPOH: Pekerja kilang yang disyaki dibunuh, dengan kesan jerut di leher di Khantan Bharu, dekat sini pada Rabu, mungkin dipukul dengan objek tumpul sebelum terjatuh atau dicampak ke dalam lombong.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner, Mohd Ali Tamby berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pada Khamis pagi, mendapati ada lumpur dalam salur pernafasan si mati.

Menurut beliau, hasil bedah siasat juga mendapati terdapat kesan lebam / pendarahan pada tepi dagu kanan, sisi mata kiri dan otot dada kanan, disyaki disebabkan objek tumpul seperti kayu, batu, besi, tumbukan atau sepakan.

“Ada kemungkinan si mati dipukul sebelum jatuh atau dicampak dalam kolam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Astro Awani pada Rabu melaporkan polis menemui mayat seorang pekerja kilang yang disyaki dibunuh, dengan kesan jerut di leher di dalam sebuah lombong di Khantan Bharu, dekat sini, tengahari Rabu.

Lelaki berumur 23 tahun itu dilaporkan keluar rumah di Sungai Siput kira-kira pukul 1.30 petang Selasa untuk pergi memancing.