TAIPING: Seorang pekerja kilang maut setelah motosikalnya terperosok di bawah sebuah bas di Jalan Taiping – Selama berhampiran Taman Lela, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian sekitar 12.20 tengahari itu, mangsa, Megat Ahmad Hashim, 56, maut setelah bertembung dengan sebuah bas sebelum motosikalnya diseret di bawah tayar bas berkenaan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa yang berasal dari Jalan Kamunting Lama itu sedang menghala ke Batu Kurau sebelum dirempuh oleh bas berkenaan.

“Kemalangan di Kilometer 9.5,Jalan Taiping-Selama itu berlaku apabila sebuah bas yang membawa beberapa penumpang menghala ke Taiping asuk ke haluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala tiada penumpang lain di dalam bas berkenaan yang mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Harrith berkata, siasatan masih dijalankan dan tiada sebarang saksi yang tampil memberikan keterangan.

“Siasatan masih dilanjutkan untuk mengetahui punca kemalangan sebenar dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.