IPOH: Seorang pekerja kilang maut apabila keretanya dirempuh oleh sebuah kereta yang terbabas memasuki laluan bertentangan di Jalan Kuala Kangsar dekat sini pada petang Jumaat.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 56 tahun dalam perjalanan menuju Kg. Tawas, dirempuh oleh sebuah kereta Proton Satria.

Dia disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby berkata, insiden itu yang melibatkan tiga kenderaan turut menyebabkan tiga lagi mangsa cedera.

“Siasatan awal mendapati kereta Proton Satria yang menuju ke Ipoh telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan setelah merempuh tiang lampu di atas pembahagi jalan.

“Sejurus selepas itu, kenderaan tersebut telah merempuh kereta mangsa dan sebuah lagi kereta yang tidak sempat mengelak yang turut merempuh mangsa.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Mohd Ali, pemandu dan penumpang wanita dalam kereta ketiga itu turut mengalami kecederaan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.