SELAYANG: Seorang lelaki yang dipercayai sebelum ini bersama dua lain memasukkan kucing ke dalam mesin pengering pakaian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menyebabkan penderitaan terhadap haiwan itu, bulan lalu.

Pekerja kontrak K Ganesh 41, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Sebelum ini, pada 20 September lalu, pemandu teksi, A Mohanraj, 41 dan juruteknik, S S Satthiya, 26, turut mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan sama.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ganesh bersama Moharaj didakwa dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap kucing itu di kedai dobi Queen Self-Service, Taman Gombak Ria, di sini, pada 11 September lalu, jam 12.54 tengah malam hingga 1 pagi.

Dia didakwa mengikut 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dihukum mengikut Seksyen 29 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Selangor, Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam P Rajsurian, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menjaga ayah yang cacat dan penanggung utama keluarga.

“Tertuduh dan keluarganya adalah orang susah dan jaminan ditawar adalah di luar kemampuan.

“Ketika direman tertuduh dipukul dan mengalami sakit dada sejak ditahan dari hari pertama,” katanya.

Rajsurian juga memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin RM18,000 yang diberikan terhadap Mohanraj pada prosiding sebelum ini dikurangkan.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Satthiya, 26, dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan pendakwaan mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah.

“Pihak kami mendapat arahan daripada Pengarah Jabatan Veterinar Selangor untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh bagi menjadi saksi pendakwaan.

Sehubungan itu, mahkamah melepas tanpa membebaskan Satthiya daripada pertuduhan itu.

Mahkamah kemudian membenarkan Ganesh dan Mohanraj masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan ke mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan dan menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes.

Pada 13 September lalu, media melaporkan seekor kucing bunting ditemui mati dalam keadaan berdarah akibat melecur di kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria – berita harian