PARIT – Seorang pekerja ladang kelapa sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan termasuk mengganggu penjawat awam menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh serta memaki hamun mereka kelmarin.

K. Panner Selwam, 35, membuat pengakuan tersebut setelah kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Fitri Sadarudin.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja menghalang Koperal Khairul Hafizze Madan daripada menjalankan tugas dengan cara membuat provokasi iaitu meninggikan suara dan enggan memberikan kerjasama ketika diminta untuk mengalihkan kenderaan.

Lelaki tersebut turut didakwa bagi pertuduhan kedua iaitu melakukan provokasi dengan cara menyimbah air ke atas Lans Koperal Mohd. Zaharil Mustafa.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Pejabat Kaunter Pertanyaan, Balai Polis Parit di sini kira-kira pukul 12.10 pagi, 31 Disember lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh, mengaibkan dan memaki hamun polis pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Pertuduhan terhadapnya itu dikemukan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfarhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam, Keshvinver Singh.

Majistret Mohd. Fitri membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 17 Januari ini untuk tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN ONLINE