LUMUT 10 Mei – Seorang lelaki warga tempatan maut selepas tergelincir semasa melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah kilang kelapa sawit di Pantai Remis dekat sini semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Zamzurin Maarof berkata, kejadian pada pukul 10.30 berlaku ketika mangsa V. Ravindran, 28, sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bahagian luar dinding dandang stim.

Menurutnya, semasa berdiri di atas paip stim untuk menjalankan kerja pengukuran pada bahagian luar dinding dandang stim, mangsa tergelincir lalu jatuh dari ketinggian kira-kira 20 kaki.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dihantar ke Klinik Kesihatan Changkat Kruing dan disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurut Zamzurin, pihaknya telah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan kejadian tersebut.

Beliau berkata,.susulan daripada siasatan yang dijalankan, JKKP Perak telah mengeluarkan satu notis larangan dan lima notis melibatkan kegagalan majikan mewujudkan prosedur kerja selamat dan sistem permit bekerja untuk kerja-kerja di tempat tinggi.

“Selain itu, majikan juga didapati gagal mengemaskini penaksiran risiko dan menyediakan latihan untuk kerja di tempat tinggi.

“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.

Dalam pada itu, Zamzurin berkata, sehingga semalam terdapat enam kes maut melibatkan pekerja jatuh daripada tempat tinggi.

“Justeru diharap semua majikan memastikan semua aktiviti kerja di tempat tinggi mengikut Garis Panduan Pencegahan Jatuh di Tempat Kerja yang dikeluarkan JKKP pada tahun 2007 bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – UTUSAN ONLINE