KENINGAU: Seorang pekerja bengkel maut selepas tersepit akibat dihempap ‘bucket’ lori pengangkat dalam kejadian di bengkel Majlis Daerah Keningau di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 8.55 pagi itu, Albert Musili, 53, dikatakan sedang melakukan kerja penyelenggaran ke atas sebuah lori di bengkel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawila, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Mudi Pengiran, berkata sejurus menerima maklumat pada jam 8.59 pagi, sembilan anggota bersama dua jentera diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Raizaan Ag Damit bergegas ke tempat kejadian.

“Sejurus tiba pada jam 9.06 pagi, operasi menyelamatkan mangsa tersepit segera dijalankan. Seorang mangsa lelaki tersepit di bawah lori milik Majlis Daerah Keningau ketika menjalankan tugas penyelenggaraan di bengkel berkenaan.

ANGGOTA bomba berusaha menyelamatkan mangsa tersepit di bawah trak lori milik Majlis Daerah Keningau, di Keningau. – Foto Ihsan Bomba
“Mangsa yang mengalami kecederaan di badan dikeluarkan oleh anggota bomba seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya.

Operasi ditamatkan pada jam 09.48 pagi – berita harian