KLANG – Seorang pekerja syarikat logistik maut selepas digilis sebuah treler ketika menuju tempat kerjanya dalam kejadian di depoh Pelabuhan Barat di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, Ramlee Rusland, 31, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya di Jalan Kim Chuan, Pelabuhan Barat selepas selesai urusannya di depoh terbabit.

“Mangsa yang menunggang motosikal dikatakan telah gagal mengelak sebelum melanggar tayar hadapan sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun yang memasuki salah satu depoh dalam kawasan terbabit.

“Impak pelanggaran itu mengakibatkan mangsa terjatuh sebelum digilis dan diseret beberapa meter,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Shamsul Amar menjelaskan, mangsa yang parah di beberapa bahagian badan kemudiannya dikejarkan ke HTAR untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rakaman video berdurasi 26 saat mengenai kemalangan tersebut telah menjadi tular di media sosial sejak semalam. – K! ONLINE