IPOH: Seorang pekerja sebuah Tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas empat pertuduhan memperdagangkan empat wanita rakyat Thailand bagi maksud eksploitasi seksual.

Pak Soh Kuen, 58, didakwa melakukan perbuatan itu di Hotel Luck, Jalan C.M Yussuff dan di sebuah refleksologi Lucky, Jalan C.M Yussuff di Ipoh pada Mac hingga Ogos tahun ini.
Dia dituduh mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah. Pak Soh Kuen telah membayar jamin tersebut.

Hakim menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Mahinderjit Singh.