BUKIT BERUNTUNG: Seorang pekerja lelaki warga asing parah manakala dua lagi cedera apabila dihempap rak besi simpanan barangan kering ketika bekerja di sebuah gudang pasaraya besar di sini, jam 2.50 petang tadi.

Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai tidak sempat mengelak rak setinggi lebih 20 meter yang tiba-tiba tumbang.

Seorang pekerja yang dikenali sebagai Shan, 50, berkata rak itu dipercayai tumbang akibat ditolak jentera angkat ketika seorang pengendali cuba meletakkan barang di bahagian atas rak.

Kejadian itu memaksa pihak pengurusan gudang menutup beberapa ruang memunggah barangan bagi mengelak kejadian buruk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan, berkata sepasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasaran (EMRS) bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 4.57 petang.

“Seorang daripada mangsa patah kaki kiri dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh bersama dua lagi pekerja yang turut cedera dalam kejadian itu.

“Operasi turut dibantu pasukan dari BBP Rawang dengan kekuatan keseluruhan 22 pegawai dan anggota,” katanya.

Keterangan gambar:

1. Rak barang runtuh menghempap tiga pekerja di sebuah gudang pasaraya besar Bukit Beruntung petang tadi.

2. Mangsa diusung ke dalam ambulans sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

3. Mangsa yang cedera dimasukkan ke dalam EMRS Bomba sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

4. Video pasukan paramedik dan bomba membawa seorang mangsa yang cedera dihempap rak besi runtuh di sebuah gudang pasaraya besar Bukit Beruntung – berita harian