IPOH: Seramai 70 orang pelabur Bestino Sdn. Bhd. merayu kerajaan negeri Perak memberi sebidang tanah sebagai lokasi perusahaan baru bagi menampug kerugian mereka di dalam pelaburan berkenaan.

Aktivitis Parti Sosialis Malaysia (PSM), Kunasegaran berkata, pihaknya merayu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meluluskan 1,000 ekar tanah kepada mangsa pelabur Skim Emas Bestino di mana 70 peratus daripada adalah warga negeri Perak.

Menurutnya, kelulusan itu adalah untuk untuk aktiviti pertanian secara kelompok melalui penubuhan koperasi, khusus kepada warga Perak sahaja.

“Kami merayu agar Menteri Besar dapat mempertimbangkan perkara ini kerana sebahagian besar daripada 6,764 pelabur yang terpedaya dalam skim ini adalah pelabur sah yang merupakan anak negeri Perak.

“Sekiranya permohonan kami ini diluluskan, maka kami akan dapat membangunkan sektor pertanian, meningkatkan ekonomi dan pendapatan negeri serta memastikan kadar pulangan Perak bertambah baik,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan rayuan itu kepada wakil Menteri Besar di pekarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi PSM Jelapang merangkap Timbalan Pengerusi Pusat, M Saraswathy.

Kunasegaran berkata, skim berkenaan telah bermula pada 2006, namun mendakwa Bank Negara Malaysia telah masuk campur dan merampas RM24.2 juta kerana dipercayai skim tersebut adalah tidak sah.

“Sekiranya kerajaan negeri dapat mempertimbangkan perkara ini, maka saya yakin mereka dapat meyakinkan orang ramai agar tidak tertipu lagi dengan pelbagai skim cepat kaya dan merujuk terlebih dahulu dengan pihak dan agensi berwajib sebelum melaksanakan sebarang pelaburan,” katanya lagi.