IPOH– Gimik politik dan khabar angin yang dimainkan pembangkang di Perak ketika ini, sama sekali tidak memberi kesan kepada keyakinan pelabur untuk datang ke negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, situasi pelaburan di negeri Perak stabil walaupun pelbagai isu kitar semula yang digunakan oleh pembangkang.

“Ini ialah recycle (isu politik kitar semula) dia (ketua pembangkang negeri Perak) yang kedua, sebelum ini dia buat yang sama sewaktu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tapi tiada apa yang berlaku.

“Sejujurnya ia tidak memberi kesan kepada keyakinan pelabur di Perak walaupun banyak khabar angin yang berlaku sekarang. Itu hanya gimik politik, ahli perniagaan pun tahu dan sudah matang untuk memikirkannya,” katanya.

Mohammad Nizar berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kolaborasi Perdagangan Perak-China di Dewan Bankuet di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Yang turut sama, Datuk Bandar GuangDong ShunDe, Chen You Huan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak berkata, keadaan pelaburan di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan di negeri ini menunjukkan peningkatan.

“Setakat ini hingga hujung tahun lalu nilai pelaburan adalah RM 2.4 bilion, menjadi petunjuk pelabur meletakkan keyakinan kepada kerajaan baru sekarang ,” katanya.

Sementara itu, persidangan yang berlangsung hari ini menghimpunkan usahawan, pengusaha serta wakil dari kerajaan Selatan China dan Perak bagi mewujudkan peluang perniagaan bersama.