IPOH: Pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dari Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah, Ipoh yang mendapat 11A mahu menjadi seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Nursalam Khairul Azman, 15, berkata, tidak mustahil beliau boleh menjadi individu berjaya seperti Menteri Dalam Negeri itu yang juga merupakan bekas pelajar sekolah sama.

Menurut remaja berasal dari Trolak Utara itu, antara rahsia beliau mendapat keputusan cemerlang dalam PT3 itu adalah menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas termasuk menyiapkan semua tugasan diberikan guru.

“Tapi yang paling penting ialah solat, kita perlu jaga solat dan doa sentiasa selain menjaga pemakanan kita untuk mengelakkan menjadi malas,” kata anak ketiga  daripada enam beradik tersebut ketika ditemui di sekolah berkenaan pada Isnin.

Beliau yang bercita-cita ingin menjadi Ustaz itu juga menasihati pelajar-pelajar lain yang akan mengambil peperiksaan pada masa akan datang untuk teruskan mengulang kaji walaupun mendapat keputusan yang teruk.

“Sebelum ini keputusan saya amat teruk, ada yang gagal dan percubaan saya hanya dapat lima A tapi saya tidak putus asa dan teruskan mengulang kaji tiga jam sehari.

“Saya juga tidak memiliki telefon bimbit, walaupun susah untuk berhubung dengan rakan-rakan tapi saya rasa itu antara penyebab yang membolehkan saya fokus dalam pelajaran atau mengulang kaji,” jelasnya.

Nursalam merupakan antara 21 pelajar yang mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diambil dari sekolah tersebut.

Pengetua sekolah itu, Omar Bakar memberitahu, pihak sekolah akan membawa kesemua pelajar itu ke luar negara untuk percutian sebagai hadiah di atas kejayaan mereka.

Namun, katanya, hanya pelajar yang memilih untuk meneruskan pelajaran di sekolah itu sahaja akan dibawa.

“Sebenarnya kita tawarkan percutian itu kepada pelajar-pelajar cemerlang yang setia dengan sekolah, maksudnya mereka yang kekal di sini hingga 2018.

“Jadi kalau pada bulan sembilan tahun depan mereka masa kekal saya anggap mereka setia dengan sekolah dan kita akan tawarkan percutian itu mungkin ke Brunei,” katanya.