SIBU: Pelajar Tingkatan Dua yang dilaporkan hilang di bandar ini, Sabtu lalu, ditemui lemas, hari ini.

Mayat mangsa, Nelson Wong Yeon Hon, 14, ditemui terapung di Sungai Igan oleh penduduk Kampung Bungan Kecil, kira-kira 50 kilometer dari Sibu, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung yang memaklumkan penemuan mayat terbabit pada jam 10.40 pagi.

Beliau berkata, anggota Pasukan Polis Marin (PPM) dengan sebuah bot kemudian dihantar ke lokasi untuk mengambil mayat berkenaan.

“Ketika ditemui, mayat mangsa didapati berpakaian sekolah lengkap dan tertera nama serta lencana sekolahnya.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Stanley berkata, keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai penemuan itu dan dipanggil ke Hospital Sibu untuk membuat pengecaman.

Katanya, polis menerima laporan daripada keluarga mangsa pada Ahad lalu yang memaklumkan mangsa tidak balik ke rumah sejak Sabtu – berita harian