IPOH: Bagi menghasilkan ekspresi cintakan negara, seramai 297 murid pelbagai kaum dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin, Ampang Baru di sini membina formasi berbentuk hati sempena meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-61 yang bakal tiba.

Kesemua murid tahun satu hingga tahun enam termasuk 35 guru bekerjsama bagi menjayakankan acara berkenaan yang diadakan di tengah-tengah padang sekolah itu pada pagi ini.

Program bermula seawal jam 8 pagi itu dimulakan dengan perhimpunan pelajar bagi menyanyikan lagu Negaraku dan Tanggal 31 di ruang pentas utama sekolah berkenaan.

Murid setelah itu, bergerak masuk ke ruang padang perhimpuann dan melakukan formasi berbentuk hati selain nombor 61 bagi melambangkan tahun kemerdekaan negara.

Masing-masing kemudiannya mengibarkan jalur gemilang sambil melaungkan perkataan ‘Merdeka’ beberapa kali dengan nada penuh bersemangat.

Guru Besar sekolah berkenaan, Ng Kit Chee berkata, acara seumpamanya adalah pertama kali diadakan di sekolah berkenaan dan bertujuan memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara di kalangan murid.

“Sekolah ini unik kerana terdiri daripada murid pelbagai kaum iaitu Cina, India, Melayu termasuk Kadazan, Iban dan juga Bidayuh, berikutan terdapat bapa mereka yang bekerja sebagai tentera menghantar anak mereka ke sekolah ini.

“Jadi, melalui perhimpunan kita mengharapakan murid dapat mengamalkan perpaduan, menghormati dan cintakan negara walaupun dimana mereka berada selepas menamatkan pembelajaran di sekolah ini,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Katanya, kesemua pelajar mengambil tempoh seminggu untuk berlatih bagi menghasilkan kerjasama bagi membentuk formasi itu.

“Idea dicetuskan oleh semua sesame guru bagi membangkitkan semangat kemerdekaan di kalangan murid di sekolah ini,” katanya

Katanya, selain daripada itu sekolalh turut mengatur beberapa program yang lain seperti pertandingan melukis poster dan seni kaligrafi antara kelas.

Murid tahun 6, Marvick Nick Mierza,12, yang juga berasal dari kaum Iban berkata, bersemangatnya berkobar-kobar untuk mengikuti program itu kerana ayahnya juga bekerja sebagai askar.

“Saya rasa bersemangat dan seronok dapat ramai-ramai dengan kawan satu sekolah membuat bentuk hati sempena Merdeka,” katanya.