IPOH – Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan Seri Ampang, di sini Airin Mohd Faizal, yang mengidap kanser tisu lembut, memohon jasa baik rakyat Malaysia menghulurkan bantuan bagi menjalani rawatan susulan di China.

Bapa kanak-kanak malang itu, Mohd Faizal Yusoff, 41, berkata, rawatan kali pertama anaknya di dua buah hospital di Guangzhou, iaitu Modern Cancer Hospital dan Fuda Cancer Hospital awal tahun ini, melibatkan kos kira-kira RM140,000.

Mohd Faizal yang bekerja sendiri memberitahu, selepas menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di kaki kiri Airin di Fuda Cancer Hospital, keadaan anaknya bertambah baik dan telah membuat temu janji susulan pada 29 Mei ini.

Bagaimanapun, disebabkan kaki kiri airin bengkak semula, pihak hospital berkenaan menasihatkannya supaya datang segera bagi menjalani rawatan susulan yang melibatkan kos kira-kira RM50,000.

“Saya harap pada sesiapa yang ingin membantu untuk meringankan beban kami, saya harapkanlah dan juga saya harapkan juga rakyat Malaysia mendoakan kesihatan anak saya, Airin agar lebih sihat, lebih ceria seperti sedia kala,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Senator Datuk Hamzah Kassim di rumahnya di Kampung Sungai Rokam, di sini pada Rabu petang.

Menjelaskan lanjut mengenai situasi anaknya, Mohd Faizal berkata, mereka sekeluarga mendapatkan rawatan di china selepas pihak hospital di Malaysia membuat keputusan bahawa kaki anaknya terpaksa dipotong.

 

Selain bantuan daripada beberapa individu, mereka juga sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada pihak Baitulmal negeri Perak.

Sementara itu, Hamzah mengharapkan rakyat malaysia yang prihatin dapat tampil membantu kanak-kanak malang itu.

“Di atas sifat keperimanusiaan semua rakyat Malaysia, saya menyerulah kepada mana juga warganegara malaysia yang ada lebihan rezeki, bolehlah menyampaikan ataupun memberikan bantuan kepada adik Airin Mohd Faizal ini untuk meneruskan rawatannya.

“Kami sentiasa mendoakan supaya adik Airin dipermudahkan Allah segala urusannya dan sembuh daripada penyakit yang dialaminya,” ujar beliau.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke dalam akuan Maybank Mohd Faizal Yusoff, no akaun 158172850843 atau menghubunginya di talian 013-3458776 atau Ketua Kampung Sungai Rokam, Mohd Rais Ramli, 019 – 5589370.