KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang pelajar kolej swasta selepas keluar dari rumah sewa di sebuah pangsapuri di Seksyen 16, Shah Alam, Khamis lalu, terjawab apabila ditemui dalam tahanan pihak polis untuk pemeriksaan dalam satu operasi di restoran di Bandar Baru Klang.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, Mohammad Hafiz Ismail, 24, dilaporkan hilang selepas keluar ke pasar malam bersama seorang rakan.

Menurut ibu mangsa, Noorliah Kasbulah, 48, dia dimaklumkan oleh rakan anaknya yang menemui kereta PERODUA Axia milik Muhammad Hafiz berhampiran sebuah restoran di Bandar Baru Klang kira-kira jam 2 petang, semalam.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu, dia bergegas ke lokasi terbabit, namun anaknya tidak berada di dalam kenderaan berkenaan.

“Kami kemudian pergi ke restoran berhampiran untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan rakaman itu, Muhammad Hafiz dilihat berada di restoran terbabit sedang makan bersama rakannya sebelum premis berkenaan diserbu pihak berkuasa.

“Dia (Muhammad Hafiz) dan rakannya turut ditahan dalam operasi itu sebelum dibawa ke balai polis berhampiran untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noorliah berkata, sebaik melihat rakaman itu, dia membuat pemeriksaan di balai polis berhampiran sebelum dimaklumkan anaknya berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara selepas serbuan berkenaan.

“Saya kemudian pergi ke IPD Klang Utara untuk memastikan sama ada benar Muhammad Hafiz berada di sana.

“Polis membebaskannya selepas ujian saringan air kencing dilakukan didapati negatif kira-kira jam 7 malam tadi,” katanya yang sudah menarik laporan polis dibuat.

Katanya, dia bersyukur anak lelakinya itu dalam keadaan selamat dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang banyak membantu memberikan maklumat sepanjang tempoh kehilangan Muhammad Hafiz – berita harian