IPOH: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang pelajar yang mengaku salah menghina Sultan Perak melalui Twitter pada 13 Oktober lalu.

Majistret, Siti Hafizah Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nor Farhan Burhan, 19 dan turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga bulan jika dia gagal membayar denda itu.

Muhammad Nor Farhan didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya di laman web HTTP://MOBILE.TWITTER.COM/FARHALEIGH dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh yang merupakan pelajar tingkatan enam sebuah sekolah di Muar, Johor itu didakwa melakukan perbuatan itu di Bandar Baru Medan Ipoh pada jam lebih kurang 10.30 malam.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) Akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum hukuman itu ditetapkan, tertuduh turut diminta menyebut lima prinsip rukun negara oleh Siti Hafizah dan ditanya mengenai kefahaman dia terhadap kesemua prinsip yang disebutnya itu.

Siti Hafizah menjelaskan tindakan tertuduh itu menyalahi prinsip kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Awatif Ahmad Bashir.