KOTA BHARU: Bermula dengan air ketum, akhirnya seramai 292 pelajar sekolah di negeri ini, tahun lalu terjebak dalam gejala penagihan dadah.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad, berkata pengunaan air ketum dalam kalangan pelajar sekolah berusia 13 tahun hingga 17 tahun membimbangkan, malah bekalan amat mudah diperoleh.

Rohayu berkata, penjualan air ketum dijalankan secara terbuka dan memudahkan pelajar untuk membeli bekalan itu dengan harga RM10 sebungkus.

Katanya, fenomena penggunaan air ketum perlu dicegah bagi mengelak golongan remaja terus hanyut dan terjebak dalam gejala penagihan dadah.

“Mereka yang ketagih dengan air ketum ini berkemungkinan besar akan mengambil barang terlarang yang lebih bahaya, termasuk pil kuda.

“Dalam ujian saringan air kencing yang dilakukan AADK pada tahun lalu mendapati seramai 292 pelajar sekolah positif dadah jenis Methamphetamine kerana pengambilan pil kuda.

“Hasil soal siasat, mereka mendakwa mengambil air ketum sebelum terjebak dengan pil kuda,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika tidak dibendung, masa hadapan pelajar terbabit akan musnah, seterusnya menimbulkan pelbagai masalah dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, saya menasihatkan semua pihak bekerjasama dan mengambil tahu antara satu sama lain. Misalnya, masyarakat perlu membuat aduan kepada pihak berwajib jika mendapati ada gejala penagihan dadah di kawasan mereka.

“Kita kena buang sikap penting diri sendiri kerana ia akan memusnahkan masa hadapan remaja,” katanya.

Rohayu berkata, pada tahun ini pihaknya sekali lagi akan turun padang ke semua sekolah menengah di seluruh daerah untuk menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pelajar.-msn