GERIK: Seramai 49 orang pelajar Sekolah Agama Rakyat Tan Sri Ghazali Jawi di sini menzahirkan terima kasih tidak terhingga kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) di atas bantuan membersihkan dewan peperiksaan yang dipenuhi lumpur setelah sekolah mereka dilanda banjir kilat.

Pelajar terbabit pada mulanya gelisah melihat keadaan dewan itu kerana kemungkinan tidak dapat menggunakannya bagi menduduki kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pagi Isnin.

Kebimbangan mereka berakhir apabila 11 anggota Bomba dari Balai Gerik datang dengan jentera air bagi membersihkan lumpur di dewan peperiksaan itu.

“Lega melihat dewan sudah dibersihkan dalam sekelip mata. Maknanya kami boleh teruskan guna untuk SPM…tak payah pindah,” kata Mohd Alif Daniel.

Menceritakan detik banjir kilat pada 3 pagi Ahad itu, remaja berusia 17 tahun itu berkata rakan sebilik telah mengejutnya yang sedang nyenyak tidur untuk memberitahu kawasan sekolah dinaiki ai

“Sebaik sahaja terjaga, saya lihat paras air sudah hampir menenggelamkan separuh daripada kantin sekolah. Padang sekolah serta gelanggang takraw pun dah tak nampak.

“Mujur asrama kami berada di kawasan agak tinggi daripada bangunan pentadbiran…jadi asrama tidak terjejas,”katanya kepada Suara Perak.

 

 


Alif berkata, beliau dan rakannya agak runsing apabila melihat dewan kotor dengan kesan lumpur dan selut setelah air surut pada 2 petang.

“Kami dah jemur semua meja dan kerusi, harap kering dengan cepat dan kami pasti tiada sebarang masalah untuk menduduki SPM, itu pun kalau tak banjir lagi malam ini,”katanya.

Sementara itu, Bomba Gerik yang turut membantu membersihkan keseluruhan kawasan terjejas memberitahu banjir kilat yang melanda kawasan Hulu Perak itu menjejaskan sebanyak 12 buah kampung di sekitar Pekan Gerik.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat, Azizul Aswad Asaris berkata sebaik sahaja menerima panggilan sekitar empat pagi ahad operasi pemindahan bermula dengan memindahkan seramai 19 orang ke Dewan Orang Ramai Gerik.

“Bagaimanapun, kesemua mangsa telah dibenarkan pulang sekitar pukul 1 petang ahad dan tiada mangsa yang dilaporkan cedera.

“Bagi operasi pasca-banjir, kami memberikan tumpuan kepada pusat-pusat awam di sekitar Gerik seperti surau, sekolah, pasar, dan tumpuan utama diberikan kepada SAR Tan Sri Ghazali Jawi kerana mereka sedang menduduki SPM.

Beliau ditemui ketika mengendalikan operasi pembersihan di sekitar Gerik akibat banjir kilat yang berlaku lebih lima jam bermula tiga pagi Ahad itu.