SEPANG: Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil, di sini, maut apabila dipercayai terjatuh dari tingkat empat asrama lelaki di kampus itu, kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata terdahulu mangsa berusia 18 tahun dikatakan bersembang dengan rakannya di balkoni asrama berkenaan.

“Menurut rakannya yang juga saksi kejadian, insiden berlaku ketika mangsa dikatakan sedang bercakap telefon sambil duduk di atas besi palang balkoni menghadap ke luar bangunan.

“Tiba tiba, mangsa dipercayai tergelincir dari besi yang didudukinya itu lalu terjatuh dari ketinggian empat tingkat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Berdasarkan siasatan awal, tiada sebarang kesan berunsurkan jenayah ditemui dalam kejadian itu.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz menolak dakwaan tular dalam media sosial, semalam, bahawa mangsa yang juga pelajar jurusan sains, maut akibat terjatuh dari ‘hammock’ dipasang pada palang balkoni terbabit – berita harian