NILAI: Seorang pelajar tingkatan empat maut manakala kakaknya cedera selepas motosikal ditunggangi dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan di Jalan Mantin, berhampiran Pekan Mantin di sini, pagi ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin, Ban Kah Yan, 16, meninggal dunia akibat parah pada kepala manakala kakaknya, Ban Kah Kei, 19, yang juga pelajar tingkatan enam sekolah sama, cedera pada tangan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata dalam kejadian jam 6.35 pagi itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari rumah di Taman Bukit Mantin di sini, ke sekolah.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, motosikal mereka bergesel dengan sebuah kenderaan lain menyebabkan ia hilang kawalan dan kedua-dua mangsa terjatuh ke atas jalan.

“Pembonceng meninggal dunia di lokasi manakala penunggang hanya luka pada tangan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti kenderaan yang terbabit kemalangan bersama mangsa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – beria harian