BAGAN SERAI, 11 Dis. – Yayasan Bina Upaya (YBU) memperuntukkan kira-kira RM1.05 juta bagi membantu hampir 7,000 murid dan pelajar yang menerima bantuan menerusi Program Kembali Ke Sekolah tahun depan.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Pelanggan YBU, Mohd. Khair Ahmad Ghazali berkata, bantuan itu berupa barangan keperluan seperti beg, alat tulis dan pakaian seragam sekolah bernilai RM150.

“Penerima bantuan membabitkan anak penerima e-kasih, golongan miskin dan anak yatim yang dipilih melalui pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) di seluruh negeri ini. Bantuan ini bagi membantu meringankan beban dalam menyediakan persiapan awal untuk sesi persekolahan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian program itu yang disempurnakan ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahatdi perkarangan pasar raya Sakan di sini hari ini.

Program yang bermula sejak 2014 itu merupakan khidmat yang diberikan kerajaan negeri melalui YBU dengan jumlah penerima pada awal penubuhannya seramai 2 ,000 orang.

Sementara itu, Sham berkata, seramai 360 murid dan pelajar menerima bantuan pada program yang telah empat kali diadakan itu.

“Dalam keadaan harga barang yang melambung dan kos sara hidup rakyat yang meningkat, YBU tampil membantu golongan berkenaan,” katanya. – BERNAMA