NILAI: Seorang pelajar warga Nigeria terbunuh, manakala seorang wanita cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Semarak dekat Taman Semarah di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, pelajar lelaki sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur berusia 20-an itu meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala.

Difahamkan, PROTON Saga dipandu mangsa dari Taman Semarak ke bandar Nilai itu hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Lexus dipandu seorang wanita.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Khairollizal Abu Kasim berkata, satu pasukan bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 pagi.

“Pasukan perubatan dari klinik Kesihatan Nilai turut bergegas ke tempat kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Wanita berusia 39 tahun yang juga pemandu SUV itu bagaimanapun cedera ringan. Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki pengsan selepas lori muatan pasir dipandunya terbabas dan masuk ke gaung sedalam 30 meter di Jalan Bukit Putus di sini, pagi tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Zainurin Sharif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.46 pagi dan bergegas ke lokasi bersama satu jentera dan tujuh anggota.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati mangsa Zainal Mohamad Musa, 41, dari Triang, Pahang tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu.

“Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu,” katanya.

Zainurin berkata, mangsa dipercayai dari arah Kuala Pilah menuju Seremban, kemudian dibawa ke HTJ untuk mendapatkan rawatan – berita harian